Masalah Gusi Ketika Mengandung Boleh Menyebabkan Kelahiran Pramatang
Mungkin kesan dia sangat pelik kan? Apa kaitan gusi yang jauh di atas dengan bayi yang dalam perut. Apabila seseorang wanita mengandung, pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku kepada badannya untuk menyesuaikan dengan keperluan bayi dalam kandungan. Wanita akan perubahan ketara dari aspek fizikal dan emosi dan kesihatan mulut juga tidak terkecuali.
Apabila mengandung, secara automatik gusi akan menjadi lebih lembut membengkak akibat perubahan hormon. Apabila menggosok gigi, biasanya gusi akan mudah berdarah. Jika ibu tidak memberus gigi dengan berkesan, sisa-sisa makanan akan terkumpul dan boleh menyebabkan keradangan gusi, iaitu gingivitis, yang jika tidak dirawat, masalah ini akan melarat ke peringkat yang lebih serius.
Gingivitis
Gingiva adalah nama saintifik bagi kawasan gusi yang paling dekat dengan gigi. Penyakit ini berpunca daripada bakteria yang bertindak ke atas plak-plak sisa makanan yang tertinggal di celah gigi. Pengeluaran toksin akan merosakkan stuktur tisu penyokong gigi.
Tanda-tanda gingivitis:
- Gusi berdarah ketika memberus gigi
- Gusi membengkak
- Warna gusi kemerah-merahan
Gingivitis adalah keradangan ringan yang boleh kembali normal selepas menerima rawatan yang sepatutnya, dengan cara memberus gigi yang betul dan melakukan floss setiap hari. Masalah ini tidak merosakkan tisu atau tulang yang memegang gigi.
Periodontitis
Jika gingivitis lambat menerima rawatan, penyakit ini akan melarat kepada periodontitis, yang mana berlaku keradangan di sekeliling gigi. Bermakna keradangannya adalah lebih teruk dan mungkin boleh menyebabkan gigi tercabut daripada gusi dan mewujudkan ruang antara gigi. Sistem imun badan akan melawan bakteria, namun sebenarnya boleh merosakkan tisu penyokong dan tulang yang memegang gigi. Jika tidak dirawat, gigi akan menjadi longgar dan perlu dicabut.
Pregnancy epulis (ketumbuhan pada gusi)
Wanita mengandung juga lebih cenderung mengalami epulis, iaitu benjolan kecil yang tumbuh diantara gigi, yang boleh kecut selepas bersalin. Namun, dikhuatiri jika benjolan ini membesar, pendarahan yang banyak akan berlaku.
Punca penyakit gusi semasa mengandung
1. Mulut ibu mengandung cenderung untuk menjadi lebih berasid, disamping air liur yang kering, menyebabkan bakteria mudah membiak.
2. Bagi ibu yang mengalami alahan atau morning sickness, jus gastrik yang dibuang bersama muntah boleh menyebabkan permukaan gigi terhakis.
3. Ada juga ibu yang loya dengan ubat gigi sehingga penjagaan gigi tidak dapat dilakukan dengan baik.
4. Ibu mengidam macam-macam, termasuk makanan yang manis-manis juga boleh menjejaskan kesihatan gigi dan mulut.
5. Gusi yang membengkak dan tisu pemeganga gigi dan ligamen yang longgar ketika hamil turut menyumbang kepada masalah ini.
Risiko penyakit gusi semasa mengandung
1. Bayi pra-matang dan bayi kurang berat badan
Kajian menunjukkan bahawa ibu yang mempunyai masalah gusi lebih tersedah kepada kelahiran pra-matang dan bayi kurang berat badan. Ini mungkin disebabkan oleh bakteria yang masuk ke dalam aliran darah melalui gusi mengeluarkan bahan kimia prostaglandin yang menyebabkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi lebih awal daripada waktunya.
2. Masalah jantung
Apabila bakteria memasuki aliran darah melalui gusi, bakteria tersebut dikatakan boleh menjangkiti injap jantung dan boleh menyebabkan kerosakan injap. Penyakit jantung rheumatik dikatakan berpunca daripada masalah jangkitan pada gusi.
Rawatan dan pencegahan
Wanita mengandung dinasihatkan untuk berjumpa doktor gigi pada trimester pertama kandungan untuk memeriksa status kesihatan mulut. Di Malaysia, pemeriksaan gigi dikalangan ibu mengandung adalah diwajibkan untuk mengelakkan masalah timbul ketika mereka mengandung.
Kerjasama Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) dan Bahagian Perkhidmatan Pergigian di Peringkat Primer untuk menjaga kesihatan mulut ibu-ibu mengandung adalah sangat baik. Ibu-ibu mengandung diberi temujanji untuk memeriksa gigi di klinik kerajaan. Diharap ibu-ibu mengandung mengambil peluang yang baik ini untuk menjaga kesihatan.
Wanita mengandung juga seharusnya mengamalkan cara penjagaan kesihatan mulut yang betul dan berkesan. Dinasihatkan wanita mengandung memberus gigi dengan berkesan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali setiap hari, memflos gigi, berkumur dengan ubat kumur untuk meneutralkan mulut yang berasid.
Rawatan untuk membuang plak gigi dan membuang karang di permukaan akar di bawah gusi boleh dilakukan pada trimester kedua (kandungan antara 4-6 bulan). Pada trimester pertama dan ketiga, dinasihatkan tidak melakukan apa-apa rawatan, kecuali rawatan kecemasan, contohnya apabila gigi sakit atau bernanah.
Pengambilan X-Ray sebaiknya dielakkan kecuali bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan penyiasatan lanjut.
Jika ada sebarang persoalan atau saja nak sembang-sembang, boleh hubungi saya
Fyda Noh : 012 621 1883