Penjagaan Tali Pusat Bayi Yang Betul Untuk Elakkan Jangkitan
Selepas kelahiran, sebenarnya banyak sangat perkara yang perlu diambil perhatian. Antaranya ialah penyembuhan luka. Kali ini bukan mengenai luka ibu, tapi luka bayi. Jangan salah faham, bukanlah kelahiran boleh melukakan bayi, tapi itulah penjagaan tali pusat bayi terutamanya bagi yang kali pertama menjadi ibu bapa. Sebenarnya, walaupun dah ada 2 atau 3 orang anak pun masih gayat juga, maklumlah penjagaan bayi ni perlu teliti dan rapi.
Walaupun tali pusat yang tinggal begitu pendek, hanya dalam 2-3cm sahaja, namun ada yang risau tali pusat tersangkut masa pakai lampin, bayi sakit bila cuci tali pusat ataupun jangkitan berlaku pada tali pusat jika tidak diuruskan dengan baik.
Tali pusat atau umbilical cord adalah saluran yang menyambungkan bayi ke uri atau plasenta ibu semasa bayi dalam kandungan. Melalui salur darah itu, nutrien dan oksigen akan disalurkan kepada bayi dan bahan buangan bayi akan disalurkan kepada ibu untuk dibuang.
Tali pusat bayi baru lahir berwarna putih kebiru-biruan. Selepas bayi dilahirkan, bidan atau doktor akan mengepit tali pusat dan memotong dengan segera. Di tempat tali pusat bersambung dengan perut atau tu nggul biasanya ditinggalkan baki 2-3 cm. Bahagian tali pusat yang dipotong pula akan dikepit untuk mengelakkan pendarahan, jadi pengepit itu perlu dipastikan benar-benar ketat.
Tunggul tali pusat bayi yang dijaga dengan baik akan mengering, mengecut, menjadi hitam dan gugur sendiri dan mengambil masa kira-kira 1 minggu, namun ada yang mungkin mengambil masa 10 hari. Bila tali pusat dah kering dan hitam, tapi masih terlekat sikit, waktu tu lah rasa seriau je. Takut-takut bila tercabut akan berdarah pula. Betul tak?
Jika tali pusat bayi kering, tiada apa yang perlu dirisaukan. Cuma yang kita risau jika berlaku jangkitan pada tali pusat kerana masih terdapat sambungan ke saluran darah bayi, kuman boleh masuk ke dalam badan bayi dan boleh menyebabkan jangkitan dalam darah dan boleh mengakibatkan kematian kepada bayi.
Apakah tanda-tanda jangkitan pada tali pusat bayi?
1. Bahagian tunggul tali pusat bayi kelihatan kemerahan dan kawasan sekelilingnya lebih lembut daripada biasa.
2. Terdapat lelehan kuning seperti nanah pada tali pusat.
3. Tunggul tali pusat berbau busuk.
4. Bayi diserang demam panas
5. Bayi kelihatan lesu, dan tidak mahu menghisap susu ibu.
Sekiranya tali pusat bayi masih melekat selepas 4 minggu, sebaiknya maklumkan kepada doktor atau jururawat untuk pemeriksaan lanjut. Kelewatan tali pusat tanggal disebabkan oleh anatomi bayi atau sistem ketahanan badan.
Bahan yang diperlukan untuk mencuci pusat bayi
1. Bekas
2. Kapas / putik kapas
3. Alkohol atau spirit yang dibekalkan oleh hospital atau klinik.
Cara-cara membersihkan tali pusat bayi
1. Sebelum menyentuh bayi, ibu bapa perlua pastikan tangan mereka dibersihkan terlebih dahulu. Maklumlah bayi masih kecil dan sistem pertahanan badan pun belum kuat. Risaulah kalau tangan kotor tu boleh menyebabkan jangkitan kepada bayi.
2. Selepas bayi dimandikan dan dilap kering-kering, tuangkan sedikit alkohol, tak perlulah sampai lencun. Kemudian, perlahan-lahan sapukan kapas yang telah diletak spirit ke bahagian pusat yang masih bertali dan kawasan sekeliling tali pusat. Anda juga boleh gunakan putik kapas untuk meratakan antiseptik tersebut.
3. Sekiranya hujung tali pusat terkena najis atau air kencing, basuh dengan berhati-hati dengan mandian bayi pH neutral. Risau ada jangkitan pula nanti.
4. Bila diikatkan barut, pastikan barut tidak mengena tali pusat untuk mengelakkan bayi tidak selesa. Juga pastikan keliling tunggul pusat bayi kering sebelum memakai barut.
5. Begitu juga semasa pakaikan lampin, pastikan lampin tidak terlalu ketat dan tunggul tali pusat itu bebas kerana jika kawasan tersebut lembab, ia boleh menyebabkan berlakunya jangkitan.
Selepas tali pusat sudah tanggal, biasanya kawasan itu akan kering. Pastikan kulit di kawasan pusat tidak kemerah-merahan. Ibu masih boleh terus sapu spirit atau minyak gamat supaya luka lebih cepat baik. Pastikan juga kawasan tersebut sentiasa kering walaupun tali pusat dah tanggal.
Selepas tali pusat tanggal, ada 3 kemungkinan akan berlaku.
1. Pusat yang normal dan tiada apa-apa masalah.
2. Pusat terjojol atau orang tua panggil pusat bujal.
3. Terdapat tisu lebih kurang 1cm yang masih tertinggal, yang dipanggil granulom.
Ingin tahu bagaimana mengatasi masalah ke-2 dan ke-3? Jangan terlepas untuk baca entry saya seterusnya.
Sebarang pertanyaan atau konsultasi, sila hubungi saya,
Fyda Noh,
012 621 1883
fydanoh@gmail.com
masa Cik Fiyya lahir dulu, tali pusat dia cepat je jatuh sebab kami amalkan sapu ubat yang doc berikan.. tapi selepas tu pusat Cik Fiyya timbul nak nak bila menangis.. tapi sekarang dah ok dah,,,
Kalau jaga tali pusat tu, selalu kering, biasanya takda masalah
Informasinya sangat lengkap dan bermanfaat untuk para calon ibu dan ibu.
syukur recently posted…Penyebab Penyakit Kulit Psoriasis
Terima kasih. Alhamdulillah, sama2 share ilmu yang Allah bagi..
Nampak macam simple je nak jaga tali pusat nie.
Tapi kalau tak kena caranya boleh bawa demam bayi tue sebab kena jangkitan kumam.
Azeni Ahmad recently posted…4 Sebab Mengapa Anak Degil Menjadi Lebih Berjaya
Ya, itu salah 1 cara kuman masuk ke dalam badan bayi. Sebab tu tali pusat kena jaga betul2..
Tali pusat dah tertanggal, tetapi masih kelihatan basah (tidak kering sepenuhnya), dan kemudian terdapat kapas terlekat sedikit di bahagian yang masih basah tersebut. Ditarik seperti bayi memberi respon sakit. Any advise? Tq.
Ada merah2 tak atau bengkak atau keluar nanah? Biasanya tak jadi masalah gitu. Teruskan cuci, tapi kalau risau bawa jumpa doktor.