Penjagaan Sebelum Hamil Ibu Berisiko, Doktor Tak Bagi Ibu Hamil?
“Setiap ibu berhak untuk menjangkakan bayi akan dilahirkan hidup dan sihat dan setiap bayi berhak untuk mendapat ibu yang sihat”
Siapa tak sentap kalau pagi-pagi ditegur manja oleh seorang ibu yang terlalu ingin mengandung tetapi menghidap kencing manis dengan gula yang tidak terkawal.
Bukan tak bagi mengandung, tapi doktor mencadangkan supaya ibu mengambil kaedah perancang terlebih dahulu dikatakan cuba menghalang rezeki yang akan diberikan oleh Allah.
Saya faham hasrat hati seorang wanita yang baru berkahwin yang ingin sangat membahagiakan seorang lelaki bernama suami dengan kehadiran seorang cahaya mata, namun berbaloikah jika meletakkan diri dalam risiko yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan nyawa bayi?
Itulah yang berlaku apabila seorang wanita yang mempunyai penyakit kronik dan tidak terkawal tetapi terlalu ingin mengandung. Kami di pihak anggota kesihatan bukan melarang, bukan pula cuba untuk menolak rezeki tetapi kami cuba membantu ibu untuk mengawal dulu penyakit supaya kandungan lebih selamat dan bakal melahirkan anak yang sihat juga.
Penjagaan sebelum mengandung
Penjagaan sebelum mengandung atau biasa disebut pre-pregnancy care (PPC) ialah nama 1 intervensi yang sepatutnya dijalankan oleh semua doktor tak kiralah di klinik kerajaan atau klinik swasta kepada wanita yang berpotensi untuk mengandung dan mempunyai risiko perubatan atau berisiko terutamanya mereka yang bercadang untuk mengandung. Tujuan program ini bukanlah untuk menghalang seseorang ibu yang berisiko tinggi mendapat anak, tetapi untuk menjadikan tempoh kehamilan mana-mana ibu terutamanya ibu yang berisiko tinggi selamat dari Sepatutnya setiap pasangan yang merancang untuk mempunyai anak diberi temujanji untuk menilai adakah pasangan tersebut sesuai untuk mendapat anak dan bila waktu sesuai untuk mendapat anak.
Siapakah wanita yang berisiko tinggi?
Faktor risiko umum
1. Usia
Wanita yang kurang daripada 18 tahun atau dipanggil juga mengandung di bawah umur kerana ibu yang berusia terlalu muda mempunyai risiko untuk mengalami permasalahan semasa mengandung kepada kedua-dua ibu dan bayi.
Wanita yang berusia lebih daripada 35 tahun kerana semakin meningkat usia ibu mengandung, ibu mudah terdedah kepada masalah kesihatan dan risiko melahirkan bayi yang cacat.
2. Gaya hidup dan keadaan sosial
Merokok, penyalahgunaan dadah dan mengambil minuman keras. Perbuatan-perbuatan ini boleh menyebabkan masalah kecacatan pada bayi terutamanya jika terjadi pada awal kehamilan. Pertumbuhan bayi juga boleh terbantut.
Berlebihan atau kekurangan berat badan. Masalah berat badan biasanya dikaitkan dengan penyakit metabolik yang boleh memudaratkan ibu dan bayi dalam kandungan. Masalah ini juga mungkin boleh memberi kesan apabila ibu bersalin nanti.
Faktor risiko yang khusus
1. Sejarah kandungan yang lalu
- Keguguran yang berulang dan berturut-turut
- Sejarah kematian bayi dalam kandungan
- Sejarah bayi yang cacat
- Kematian bayi dalam 0-6 hari
- Sejarah pendarahan dalam kandungan lalu, sama ada kandungan luar rahim, pendarahan semasa mengandung, tumpah darah selepas bersalin ataupun memerlukan tranfusi darah.
- Kelahiran yang memerlukan bantuan instrumen
- Sejarah bayi yang besar, iaitu berat 4 kg atau lebih ataupun sejarah melahirkan bayi yang tidak cukup berat, iaitu kurang daripada 2.5kg
- Jarak kelahiran yang dekat, iaitu kurang 2 tahun
- Rhesus negatif, iaitu kumpulan darah negatif
- Ibu yang melahirkan anak lebih daripada 5 orang
- Sejarah kelahiran pra-matang
- Sejarah uri melekat selepas bersalin
- Koyakan pada perineum tahap ketiga atau keempat.
2. Mempunyai masalah perubatan
- Tekanan darah tinggi
- Kencing manis
- Sakit jantung
- Penyakit berkaitan hormon tiroid, sama ada berlebihan atau kurang.
- Sawan
- Penyakit asma
- Penyakit berkaitan dengan tisu penghubung, contohnya SLE
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit berjangkit, terutama yang aktif seperti TB, HIV dan Hepatitis
- Anemia yang teruk
- Penyakit berkaitan darah
- Penyakit kanser
3. Pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan masalah kepada bayi. Antaranya ialah ubat sawan, ubat tekanan darah tinggi, ubat kencing manis, ubat untuk mencairkan darah dan antibiotiks.
4. Masalah berkaitan pembedahan
- Pernah menjalani pembedahan caeserean, terutamanya pembedahan kecemasan.
- Pernah menjalani apa-apa pembedahan yang melibatkan rahim.
- Pernah menjalani pembedahan usus.
- Menjalani pembedahan pemindahan organ, seperti hati atau buah pinggang.
5. Sejarah keluarga
- Suami dan isteri mempunyai pertalian kekeluargaan, apatah lagi jika pertalian itu dekat.
- Penyakit genetik suami dan isteri. Contoh yang selalu saya lihat ialah kedua-dua suami isteri adalah pembawa thalassemia. Anak mereka mempunyai risiko untuk menjadi penghidap, bererti memerlukan transfusi darah mungkin setiap bulan.
6. Masalah sosial
- Isteri yang didera oleh suami
- Mengalami tekanan sama ada di tempat kerja ataupun dalam hubungan suami isteri.
- Status ekonomi yang rendah.
- Ibu tunggal atau pun yang belum berkahwin.
Memang ada sesetengah ibu yang dinasihatkan agar tidak mengandung langsung, semuanya untuk kebaikan ibu juga. Tapi, doktor hanya menjangkakan sahaja, Allah jualah penentu.
Jika ibu ada apa-apa pertanyaan, atau nak sembang-sembang boleh hubungi saya,
Fyda Noh : 012 621 1883
Doktor nasihat mesti ada sebabnya.
Sebelum hamil, kena pastikan diri kita dalam keadaan yang tip top.
Ros recently posted…Ajar Anak Beri Isyarat Bila Perlu Mencelah Perbualan Ibubapa