Pertambahan Berat Badan Semasa Hamil Yang Ideal
Disahkan hamil adalah perkara yang paling mengembirakan bagi setiap wanita, apatah lagi jika hamil anak pertama. Namun, kadang-kadang mengidam macam-macam dan nafsu makan yang keterlaluan ketika hamil menyebabkan berat badan naik mendadak. Perkara yang merisaukan mengenai kenaikan berat badan ialah tekanan darah tinggi dan kencing manis waktu mengandung.
Ada juga ibu yang nak menjaga badan ketika hamil supaya sentiasa kelihatan langsing dan menarik, dan ini juga amat membimbangkan jika berat badan ibu tidak naik. Untuk proses kehamilan, adalah mustahil untuk ibu mengekalkan berat badan asal.
Untuk panduan ibu-ibu, bolehlah rujuk carta ini untuk kenaikan berat yang sepatutnya ketika hamil. Namun, carta ini hanya sebagai panduan. Jika ada apa-apa masalah, ibu boleh merujuk doktor masing-masing.
Carta menunjukkan kenaikan berat badan disebabkan oleh penyimpanan nutrien termasuk lemak dan perkembangan otot iaitu sebanyak 4.5-5.5kg. Cecair badan dan darah turut meningkat dalam badan ibu disebabkan oleh perubahan hormon. Rahim juga semakin membesar akibat pembesaran bayi kurang lebih 1kg dan pembesaran payudara adalah untuk persediaan penyusuan.
Purata berat bayi ialah 3-3.5 kg dan berat badan yang dijangka dalam ibu hamil ialah antara 11 dan 16 kg. Namun, tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada peningkatan berat badan sahaja kerana pemakanan ibu sewaktu hamil adalah lebih penting.
Secara kasarnya, kenaikan berat badan bukan bertujuan untuk membebankan ibu mengandung, tetapi mempunyai sebab-sebab tertentu.
1. Payudara membesar – menyediakan penyusuan selepas kelahiran.
2. Pembesaran rahim/uterus – Menyediakan ruang untuk pembesaran bayi
3. Pembentukan uri – Sebagai tapak untuk menyediakan makanan kepada bayi.
4. Pertambahan isipadu air ketuban – Menyediakan persekitaran yang memudahkan pertambahan saiz fizikal bayi.
5. Cecair dalam saluran darah – Memudahkan oksigen dan nutrisi dihantar kepada bayi dalam rahim.
6. Cecair dalam tubuh selain daripada darah – Memperbaik sistem pertahanan dalam tubuh
7. Lemak – Menyediakan simpanan tenaga kepada ibu ketika proses kelahiran dan juga sebagai sumber untuk menghasilkan susu selepas kelahiran kelak.
Trimester pertama
Dalam tempoh 3 bulan pertama, peningkatan berat ibu hamil adalah kurang lebih 1.6kg
Trimester kedua
Untuk 3 bulan seterusnya, jumlah kenaikan berat badan adalah antara 5.5 dan 6.5kg. Purata pertambahan ialah 0.5kg seminggu
Trimester ketiga
Dalam 3 bulan terakhir kebanyakan ibu hamil mengalami kenaikan berat badan sebanyak 5kg.
Pertambahan berat ibu mengikut BMI
1. Untuk ibu yang kurang berat badan, iaitu BMI kurang daripada 18.5, pertambahan berat badan yang dibenarkan ialah kira-kira 13-18kg.
2. Untuk ibu yang mempunyai BMI normal, antara 18.5 hingga 24.9, pertambahan berat badan yang dibenarkan ialah antara 11-16kg.
2. Untuk ibu yang berlebihan berat badan, iaitu mempunyai BMI antara 25 hingga 29.9, pertambahan berat badan yang dibenarkan ialah kira-kira 7-11kg.
3. Untuk ibu yang obes pula, iaitu BMI 30 atau lebih, pertambahan berat badan yang dibenarkan hanyalah antara 5-9kg sahaja.
Pertambahan berat badan ibu hamil kembar
1. Untuk ibu yang mempunyai berat badan normal, iaitu BMI antara 18.5-24.9 pertambahan berat badan yang dibenarkan ialah antara 17-25kg.
2. Untuk ibu yang mempunyai berat badan berlebihan dengan BMI 25-29.9, pertambahan berat badan yang dibenarkan ialah kira-kira 14-23kg.
3. Untuk ibu yang obes dengan BMI melebihi 30, pertambahan berat badan yang dibenarkan hanya 11-19kg sahaja.
Bagi ibu yang mempunyai berat badan berlebihan sebelum mengandung, memang perlu betul-betul kawal kenaikan berat badan kerana ibu mempunyai komplikasi kehamilan yang tinggi, termasuklah kencing manis dan darah tinggi seperti saya maklumkan dari awal.
Untuk ibu yang sememangnya mempunyai penyakit sebelum mengandung, pertambahan berat badan berlebihan akan memburukkan lagi tahap kesihatan dan menjejaskan kesihatan bayi.
Banyak kajian menunjukkan ibu-ibu ini mengalami masalah untuk melahirkan bayi secara normal dan risiko untuk berakhir dengan pembedahan adalah tinggi. Ibu juga mungkin sukar untuk menurunkan berat selepas bersalin.
Kesan obesiti kepada ibu hamil dan bayi.
Jadi, ibu perlu sentiasa lakukan pemeriksaan berkala dan ikut nasihat jururawat semasa temujanji. Jangan lupa untuk bersenam. Ibu hamil juga perlukan senaman.
Ini adalah sebagai panduan sahaja dan bukan untuk menggantikan nasihat doktor. Jika kenaikan berat badan ibu tidak mengikut carta, tidak bermakna anda tidak normal.Yang penting ibu mendapat pemakanan seimbang ketika hamil dan anak juga sihat. Untuk dapatkan suplemen terbaik semasa mengandung, sila hubungi saya (Fyda : 012 621 1883) atau nak sembang-sembang saja pun boleh.