Bahaya Tekanan Darah Tinggi Ketika Mengandung
Kali pertama membuka buku di klinik semasa mengandung, antara benda penting yang diberi perhatian ialah tekanan darah. Tekanan darah kali yang diambil kali pertama akan menjadi kayu ukur kepada tekanan-tekanan darah seterusnya. Akibat perubahan hormon, tekanan darah ibu mengandung akan berubah sama ada semakin turun atau semakin naik.
Perubahan tekanan darah semasa hamil
Tekanan darah biasanya akan menurun pada awal kehamilan kerana tindakan hormon progesteron yang mengendurkan dinding saluran darah dan saluran darah akan mengembang. Sepanjang trimester pertama, ibu dinasihatkan berhati-hati dan elakkan berdiri terlalu lama atau berdiri terlalu cepat kerana tekanan darah yang rendah ini mungkin boleh menyebabkan ibu berasa pening dan pitam.
Tambahan pula semasa mengandung darah menjadi lebih cair dan isipadu darah yang bertambah ini turut mempengaruhi tekanan darah. Jantung terpaksa mengepam lebih banyak darah ke seluruh badan. Tekanan darah berada pada tahap paling rendah dalam minggu ke-18 hingga 20. Tekanan darah akan kembali seperti sebelum mengandung beberapa minggu sebelum bayi lahir.
Cara tekanan darah diukur
Doktor atau jururawat akan mengukur tekanan darah ibu menggunakan mesin yang dipanggil sphygnomanometer sama ada mesin automatik ataupun manual. Biasanya mesin automatik akan digunakan kerana mesin ini lebih mudah dan cepat, namun sekiranya tekanan darah ibu terlalu tinggi atau terlalu rendah, ia akan diulang dengan menggunakan mesin manual untuk memastikannya.
Tekanan darah diukur semasa ibu duduk ataupun baring di katil dan sphygnomanometer perlu diletakkan separa dengan jantung ibu. Ibu akan disuruh melonggarkan baju pada bahagaian lengan kerana pakaian yang ketat mungkin boleh mengganggu bacaan tekanan darah. Kemudian lengan ibu di atas siku akan dibalut dengan kaf dan udara akan dipam ke dalam kaf itu.
Selepas udara dipam ke dalam kaf, pengaliran darah pada saluran darah utama di lengan akan berhenti. Ibu mungkin akan merasai tekanan tetapi sepatutnya tidak menyakitkan. Kemudian doktor atau jururawat akan mendapat 2 bacaan tekanan iaitu tekanan darah systolik iaitu ketika jantung mengepamkan darah dan darah mula masuk ke dalam salur darah yang ditekan tadi dan tekanan darah diastolik apabila jantung berehat antara degupan iaitu apabila darah mula mengalir ke dalam saluran darah.
Dua bacaan tekanan darah ini mungkin julatnya tidak sama antara setiap ibu, jadi tidak perlu lah ibu membandingkan tekanan darah dengan ibu-ibu yang lain. Tekanan darah ibu yang normal mungkin berbeza dengan bacaan normal ibu lain. Cuma, doktor akan memantau untuk memastikan tekanan darah ibu tidak melebihi 140/90mmHg.
Mengapa perlu mengukur tekanan darah?
Seperti orang yang tidak hamil, tekanan darah tinggi dikalangan ibu mengandung juga mungkin tidak mempunyai simptom, jadi tekanan darah ibu perlu diukur setiap kali temujanji sebagai sebahagian penting penjagaan kesihatan ibu.
Akibat perubahan hormon, risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi selepas 20 minggu juga meningkat dikalangan ibu hamil.
Jenis tekanan darah tinggi untuk ibu hamil juga berbeza mengikut waktu penyakit itu dikesan.
1. Tekanan darah tinggi penting
Sebelum 20 minggu kehamilan, jika ibu mendapat tekanan darah tinggi, bermakna ibu mungkin memang mempunyai tekanan darah tinggi sebelum mengandung lagi. Tekanan darah tinggi ini juga disebut tekanan darah tinggi kronik.
Kebiasaanya jika ibu memang menghidap tekanan darah tinggi sebelum mengandung, ia akan kekal walaupun selepas bayi lahir.
2. Tekanan darah tinggi ketika mengandung (hipertensi gestasi).
Tekanan darah tinggi ini terjadi apabila kandungan mencecah 20 minggu ke atas. Biasanya kerana hormon yang dibebaskan oleh uri menyebabkan salur darah mengecil dan tekanan darah akan meningkat.
Tekanan darah ibu akan dipantau dengan teliti, ibu dinasihatkan untuk melakukan sedikit perubahan gaya hidup iaitu mengubah tabiat makan dan bersenam. Sekiranya tekanan darah ibu tidak boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup, ubat untuk mengawal tekanan darah akan dimulakan. Lebih awal tekanan darah dikesan, kemungkinan untuk tekanan darah meningkat ke tahap yang perlu dikawal dengan ubat adalah lebih tinggi.
Untuk tekanan darah tinggi yang dikesan pada akhir kandungan, ibu mungkin akan dipaksa bersalin lebih awal, terutamanya jika sudah cukup bulan ketika ia dikesan. Selepas kelahiran bayi, biasanya tekanan darah ibu akan kembali normal.
3. Pre eklampsia
Pre eklampsia ialah 1 keadaan tekanan darah tinggi yang ditemani oleh protein dalam air kencing. Seseorang ibu dikatakan mengalami preeklampsia apabila tekanan darah sistolik antara 140-169mmHg dan tekanan darah diastolik antara 90-109mmHg dan protein dalam air kencing 1+ atau lebih.
4. Pre eklampsia teruk
Pre eklampsia teruk pula ialah apabila tekanan darah ibu melebihi 170/110, dan ibu mungkin sakit kepala, mata kabur dan bengkak kaki serta protein dalam air kencing melebihi 3+.
5. Eklampsia
Eklampsia pula bermaksud apabila ibu mengalami hipertensi dan diikuti oleh sawan.
Jika ibu-ibu disahkan menghidap tekanan darah tinggi sama ada kronik ataupun gestasi, risiko untuk mendapat pre eklampsia adalah tinggi. Jadi, ibu sendiri kena ubah gaya hidup supaya tekanan ibu terkawal untuk menurunkan risiko. Namun, ibu perlu awasi simptom-simptom berikut yang merupakan simptom sawan bakal berlaku:
1. Sakit kepala yang teramat sangat.
2. Mengalami gangguan penglihatan. Sama ada pandangan kabur atau nampak kilat-kilat.
3. Muntah yang berterusan.
4. Sakit di bahagian bawah tulang rusuk dan mungkin juga sakit ulu hati.
5. Bengkak bahagian muka, tangan atau kaki secara tiba-tiba dan tidak surut selepas berehat.
Jika mengalami simptom-simptom di atas, ibu perlu segera ke hospital dan jangan tangguh-tangguh ya, kerana nyawa ibu dan bayi mungkin terancam.
Kalau ibu ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit tekanan darah tinggi dikalangan ibu hamil atau sekadar nak sembang, boleh hubungi saya:
Fyda – 012 621 1883
Leave a Reply