6 Tips Mudah Bersalin Pasti Ibu Tak Panik
Hari ini kebanyakan temujanji saya adalah dengan ibu-ibu yang mengandung kali pertama dan sudah hampir bersalin. Ramai antara mereka yang cemas selepas saya puan sedang menunggu hari dan jika ada tanda-tanda bersalin segera ke hospital. Masing-masing berasa risau dan takut untuk menghadapi kelahiran kali pertama.
Proses melahirkan bayi memang adalah proses semulajadi, namun bukanlah senang-senang dapat dilakukan sekiranya ibu tidak tahu teknik yang betul untuk melahirkan bayi.
Jika dilihat, ada ibu yang proses bersalinnya mudah dan ada yang sudah. Alhamdulillah, proses melahirkan anak sulung saya agak senang, malah mengejutkan jururawat yang menyambut kelahiran itu. Tapi terasa juga apabila viral di Facebook baru-baru ini bahawa kalau orang yang mengandung mudah, bersalin mudah maksudnya Allah mengurangkan pahala ibu tersebut kerana artikel itu mengaitkan kebanyakan ibu yang mengandung anak luar nikah lebih mudah ketika mengandung dan melahirkan. Tak tahulah kalau betul.
Jadi, saya ingin berkongsi 6 tips yang boleh ibu gunakan semasa hamil dan semasa proses bersalin untuk melancarkan proses tersebut. Bukan tiada sakit ya. Memang la bersalin tu sakit, tapi mungkin ibu boleh mengawal rasa sakit dan sakit itu tidak berpanjangan.
1.Maklumat tentang cara bersalin
Semasa hamil, jangan berat mulut untuk tanya orang-orang sekeliling tentang pengalaman dan teknik-teknik yang boleh digunakan semasa bersalin nanti. Mungkin boleh tanya doktor ataupun jururawat di klinik, kawan-kawan atau saudara-mara.
Dan juga terdapat banyak buku berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran. Jadi, ibu boleh dapatkan sebuah ataupun dapatkan maklumat di internet sahaja.
2. Bayangkan proses ibu melahirkan nanti adalah mudah
Pernahkah ibu dengar ‘begin with the end in mind’? Ibu boleh membayangkan dalam minda proses bersalin bagaimana yang ibu mahu. Ni lebih kurang berangan la. Takpa, percuma pun.
Setiap hari katakan pada diri sendiri bahawa ibu boleh lakukannya. Ibu mampu lakukannya.
3. Persediaan fizikal
Bila mengandung saja, mesti ibu banyak dapat pesanan supaya banyakkan rehat dan jangan buat kerja berat. Betul tak? Sebenarnya, senaman semasa mengandung adalah sangat penting untuk mengawal kenaikan berat badan, mengurangkan sakit tulang dan sakit otot. Senaman semasa mengandung juga turut membantu otot ibu menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk melahirkan bayi nanti.
Pelajari senaman antenatal untuk memudahkan ibu bersalin.
Ibu juga perlu mendapat rehat yang cukup dan menjaga kesihatan untuk mengelakkan sebarang jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.
4. Lembutkan bahagian perineum
Perineum adalah bahagian antara vagina dan dubur yang akan meregang apabila anggota badan bayi mula keluar melalui salurannya. Jika otto dan tisu di bahagian ini lembut dan boleh meregang, bermakna kesakitan akan berkurang dan risiko untuk koyak adalah rendah.
Petua yang paling popular untuk melembutkan kawasan ini ialah dengan menggunakan minyak kelapa dara. Minyak kelapa ini boleh dibuat minum atau digunakan untuk mengurut bahagian perineum. Ibu boleh mula mengurut sekurang-kurangnya apabila kandungan berusia 35 minggu ke atas atau boleh dimulakan lebih awal.
5. Makan sebelum pergi ke hospital.
Ketika saya mula merasakan kontraksi semakin kuat semasa kelahiran anak pertama saya, memang saya berasa sedikit panik sehingga tak tahu apa nak dibuat kecuali pergi ke hospital sahaja. Jadi, saya tidak sempat makan malam kerana saya rasakan sakit kontraksi itu selepas solat Isyak. Makanan terakhir saya ialah nasi kerabu dalam pukul 5 lebih. Nasib baik proses kelahiran saya tidak lama. Selepas bersalin, saya rasa sangat lapar dan dahaga.
Jadi, apabila mula merasakan kontraksi, adalah lebih baik ibu alas perut dulu. Jika tiada selera untuk makan makanan berat, ibu boleh makan kurma untuk membekalkan tenaga yang cepat dan berpanjangan. Selain itu, ibu juga boleh mengambil berasaskan protein untuk rasa kenyang lebih lama.Ibu boleh juga bawa kurma ke hospital sebagai persediaan,manalah tahu lama lagi bayi mahu keluar.
Namun, risikonya jika ibu makan, takut tiba-tiba perlu pembedahan dan memerlukan ibu di bius secara keseluruhan, jadi risiko untuk makanan terkeluar dari perut dan masuk ke paru-paru adalah tinggi. Namun, biasanya pembedahan caeserean hanya menggunakan bius separuh badan atau spinal.
6. Teknik pernafasan dalam dewan bersalin
Apabila kepala bayi semakin bergerak keluar, sakit kontraksi akan meningkat dan bertambah kerap. Ketika itu, ibu tidak perlu panik sebaliknya mengawal pernafasan. Tarik nafas yang dalam dan lepaskan melalui mulut. Fokuskan pada pernafasan sehingga ibu lupa sakit kontraksi tersebut. Teknik pernafasan ini seeloknya dipelajari ketika mengandung supaya bila sakit menyerang ibu sudah bersedia dan tidak panik.
Semasa saya betul-betul dalam kesakitan, seorang sahabat mencadangkan supaya berzikir kuat-kuat dan fokus kepada zikir itu. Alhamdullillah, memang menjadi dan saya hanya fokus zikir tanpa mempedulikan rasa sakit yang semakin kuat itu. Tapi kena tahan malu jugalah, sebab 1 dewan bersalin akan dengar, kecuali kalau bilik asing-asing.
Semoga ibu boleh menggunakan 6 tips ini sebagai panduan untuk bersalin nanti. Tak perlulah ibu terlalu risau kerana sudah berjuta-juta wanita sudah merasainya dan mereka boleh melaluinya, bermakna ibu juga tentu boleh. Lepas tengok wajah si manja, tentu hilang semua rasa sakit ibu.
Bagi ibu-ibu yang ada sebarang masalah dengan kehamilan atau ingin sembang-sembang saja, bolehlah hubungi saya, Fyda : 012 621 1883.
Leave a Reply